Nabi
Musa AS memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka
panjang-panjang. Ada golongan yang kaya dan ada juga golongan yang
miskin.
Suatu
hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Ia
kelihatan begitu miskin, pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh
berdebu.
Si
miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa AS, “Ya Nabi Allah,
tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT
menjadikan aku orang yang kaya.”
Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu, “Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT.
Si
miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, ” Bagaimana
aku mahu banyak bersyukur, sedangkan aku jarang dapat makan, dan pakaian
yang aku gunakan pun hanya satu pasang ini saja! “.
Akhirnya
si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya. Tidak
lama kemudian ada seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang
tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya.
Dia
berkata kepada Nabi Musa AS, “Wahai Nabi Allah, tolong sampaikan kepada
Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang
miskin, kadang kala aku merasa terganggu dengan hartaku itu.”
Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata, “Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT.”
“Ya
Nabi Allah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Alah SWT?. Allah SWT
telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang
dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang
dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku
dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya”, jawab si
kaya itu. Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya.
Kemudian,
apa terjadi adalah si kaya itu menjadi semakin kaya kerana Allah SWT
menambah kekayaannya kerana ia selalu bersyukur. Manakala si miskin
menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil semua kenikmatan-Nya
sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaian pun yang melekat
di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT.
Bila
menyebut mengenai kesyukuran, tentu kita teringat tentang firman Allah
SWT di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai sifat syukur,
iaitu:
“Kalau
Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan kalau Aku
uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu
dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari Tuhan yang lain.”
Kalau
kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita akan dapati
bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia diuji
dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti
datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima
kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat.
Jadi,
pada hakikatnya, apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam
hidup manusia ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Sama
ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian
ini, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila
menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat.
Di
antara kedua-dua tuntutan ini, sekali imbas kita lihat, bersabar itu
lebih susah dan lebih berat untuk dipraktikkan.Ini kerana dalam
bersabar, hati manusia perlu melalui kesusahan, keresahan, tekanan dan
penderitaan. Emosi, fikiran dan ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan
hilang. Bersyukur pula, pada sekali imbas, nampak lebih senang dan mudah
kerana hati manusia berada dalam keadaan tenang dan gembira; tidak ada
tekanan atau penderitaan.
Apakah
ini benar? Adakah bersyukur itu lebih mudah dari bersabar? Kalau benar
kenapa tidak ramai orang yang mampu bersyukur? Kenapakah orang-orang
yang benar-benar bersyukur itu sedikit sekali bilangannya.
Kenapakah Allah ada berfirman di dalam Al Quran:
“Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)
Bersyukur
itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila mendapat
nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan “Alhamdulillah”. Ini
bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan cara ini. Akan
tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi dikira bersyukur yang
sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi tuntutan tuntutan lain
dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka ditakuti ucapan
“Alhamdulillah” itu hanyalah untuk mempermain-mainkan atau
mempersendakan Allah sahaja.
Ramai
juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala
bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan “Alhamdulillah”. Di
samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah
memberi mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka
dari bala bencana tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur
itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.
Adapun
syukur yang sebenar itu ialah syukur yang diucapkan oleh lidah, yang
dirasakan atau ditasdikkan di dalam hati, dan yang dilaksanakan dalam
perbuatan. Di samping mengucapkan “Alhamdulillah” dan di samping
merasakan di hati bahawa Allahlah yang mengurniakan nikmat tersebut,
nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke jalan Allah. Inilah
hakikat kesyukuran yang sebenarnya.
Kalau
kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan Allah untuk
membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk kemaslahatan
umat islam keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat
Allah yang lain. Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk
mendapat keredhaan-Nya.
Firman Allah : Maksudnya:
“Kalau
kamu bersyukur atas nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi
nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya
siksa-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)
Syukur
seperti inilah yang Allah suka dan yang Allah mahu. Dia akan tambah
lagi nikmat-Nya, untuk cover balik apa yang dikorbankan ke jalan Allah
itu.
Justeru
itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada kerja dan ada
tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan segala
nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu perlu
ditadbir, diurus dan digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah bagi
manusia lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan yang
sia-sia atau lebih berat lagi kepada jalan maksiat. Kalau ini berlaku
maka nikmat itu akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat daripada
Allah.
Dalam
bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab tambahan selain dari
menahan perasaan. Tidak ada bahaya menyalahgunakan nikmat kurniaan
Tuhan. Apa yang perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya dapat
menerima ketentuan Allah itu dan berbaik sangka dengan-Nya.
Barulah
kita faham kenapa Allah berfirman bahawa sedikit sekali hamba-hamba-Nya
yang bersyukur kerana bersyukur itu sendiri bukanlah suatu perkara yang
mudah.
Fahamlah kita sekarang, bersyukur itu rupanya lebih berat dari bersabar.
No comments:
Post a Comment